Wednesday, 4 September 2013

Ilmu Persilatan Penjurit-Kepetangan Melayu

dipetik dari http://ms.wikipedia.org/wiki/Istiadat_Pewaris_Penjurit-Kepetangan_Melayu


Ilmu Persilatan Penjurit-Kepetangan Melayu adalah sebuah ilmu persilatan tua di alam Melayu yang telah disampaikan dan diriwayatkan turun temurun yakni berasal dari zaman kerajaan tua di Bukit Siguntang Mahameru, Palembang di Sumatera. Bermula dari kisah Paduka Demang Lebar Daun dan Sang Nila Utama di hulu muara sungai Palembang yang bernama Sungai Batang Musi. Paduka Demang Lebar Daun diangkat menjadi Mangkubumi (Bapa) Ketuanan kepada semua bangsa Melayu di seluruh Nusantara. Kerajaan lama ini berkembang-biak dan bersusur-galur sehingga kepada pemerintahan Panglima Besar Raja Adityarwarman pada kurun ke-13 di Pagaruyung.

Menurut karangan Profesor Dr. Buya Hamka atau nama penuhnya Haji Abdul Malik Karim Amrullah melalui catitan di dalam bukunya; Islam dan Adat Minangkabau. Pangeran Raja Adityawarman telah memeluk Islam di tangan Sheikh Abdullah Ariff atau di Kedah Tua beliau dikenali dengan nama Sheikh Abdullah al Qumairi iaitu salah seorang Murid kepada Sheikh Abdul Qadir al-Jilani dan pendakwah Islam dari Arab yang awal memasuki Alam Melayu. Pengislaman Adityawarman telah merubah cara hidup dan amalannya. Agama Islam berkembang pesat di alam Melayu Nusantara dengan dipelopori oleh para keturunan Ahlul Bait Rasulullah SAW. Salah seorangnya bernama Sheikh Sunan Maulana Ishak yang dikenali sebagai Wali Solo. Dari sini ilmu permainan silat Melayu tua juga mula berubah dari sudut amalan dan permainan pencaknya mengikut nilai-nilai Islam. Keturunan Pangeran Raja Adityarwarman telah melahirkan tokoh-tokoh terkenal di perantauan ini. di antaranya ialah:
  • Megat Dewa
  • Megat Alam Melintang
  • Megat Alang Dilaut
  • Megat Panji Alam
  • Megat Kembar Ali
  • Raden Mahmud
  • Megat Seri Rama
Manakala turutan sebelah Puteri pula ialah:
  • Tun Hamzah
  • Tun Fatah
Serta lain-lain lagi di Alam Melayu ini termasuklah salah seorangnya iaitu Bendahara Paduka Raja Dato’ Megat Terawis Ibni Daulat Pagaruyung.

Sejarah perkembangan

Sebagai Bendahara pertama Kerajaan Perak Darul Ridzuan, Dato’ Megat Terawis dan keturunan beliau bertanggungjawab sepenuhnya atas segala urusan adat-istiadat hulubalang istana yang diwarisi dari Istana Pagaruyung dan juga dari Istana Kesultanan Melayu Melaka yang diamanahkan ke atas bahunya bagi menjaga kesinambungan 'Daulat Melayu' dari Paduka Mangkubumi Bukit Siguntang Mahameru turun temurun. Adat istiadat ini diguna pakai di istana Negeri Sembilan, Melaka (sebelum 1511 - Zaman Kesultanan Melayu Melaka), Negeri Perak dan juga di Negeri Terengganu Darul Iman. Adab, amalan dan adat istiadat tersebut telah diwarisi oleh susur-galur keturunannya turun temurun sehingga kepada Dato' Hulubalang Panglima Besar Megat Ainuddin Ibni Allahyarham Dato' Megat Mohd Nordin.

Mengikut catitan sejarah Penjurit-Kepetangan Melayu, Ajar-Ajar Tua Megat Ainuddin telah berguru dengan ramai para ilmuan persilatan dan juga agama semasa hayat mudanya dan beliau merupakan satu-satunya murid yang tamat. Beliau kemudiannya dilantik sebagai 'Ketua Gelanggang' dan pada tahun-tahun berikutnya telah ditauliahkan sebagai 'Ajar-Ajar Tua' bertaraf 'Pendita' oleh Pendita-Pendita Tua yang menjadi guru kepada Megat Ainuddin al Asyuro. Di antara Ajar-Ajar yang telah menurunkan ilmu persilatan Penjurit-Kepetangan serta telah mentauliahkan beliau termasuklah:

  • Pendita Tuan Imam Haji Megat Sabran Shahid Mekah
  • Pendita Tuan Imam Haji Megat Abdul Rauf al-Rijalul'ulghaibi
  • Pendita Kiyai Tok Muslim Pertapa Solok Slim
  • Pendita Kiyai Fakeh Lodin
  • Pendita Pak Pa'ad
  • Pendita Sheikh Othman
  • Pendita Tok Janggut Abdul Razak
  • Tuan Megat Hussein
  • Tok Awang Misai Besi
  • Pak Yeop Megat
  • Pak Hassan
  • Tun Ali
Memandangkan pertubuhan ini mengembangkan sayapnya ke arah memelihara dan mengekalkan adat-istiadat, nilai-nilai kesenian dan kebudayaan khususnya dalam perihal hulubalang Melayu, maka sayugianya nama pertubuhan ilmu persilatan ini diubah kepada Pertubuhan Istiadat Pewaris Penjurit-Kepetangan Melayu (IPPM) atas perkenan watikah Naungan YAM Tuanku Laksamana Diraja Tunku Naquiyuddin Ibni Tuanku Ja’afar, Negeri Sembilan.

Silat naungan istana



Istiadat Pewaris Penjurit-Kepetangan Melayu adalah satu-satunya pertubuhan silat di Malaysia yang mendapat naungan dan mandat 'Hulubalang' dari istana-istana dan Raja-Raja Melayu yang bertindak sebagai penjaga warisan adat-istiadat Melayu. Di antara kerabat-kerabat istana yang mengiktiraf IPPM melalui watikah perlantikkan serta surat hitam-putih yang ditandatangani Sultan-Sultan setiap negeri termasuklah:
  • DYMM Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir Daulat Negeri Sembilan.
  • Tengku Panglima Diraja, YAM Tengku Sulaiman Shah Ibni Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah - Istana Negeri Selangor Darul Ehsan.
  • Panglima Istana Diraja Hilir Bergelar, YM Raja Idris Ibni Raja Mahmud – Istana Negeri Perak Darul Ridzuan.
  • Panglima Pewaris Tun Saban, Tuan Meor Roslan Bergelar Bin YAB Dato’ Seri Meor Rashidi – Istana Negeri Perak Darul Ridzuan.
  • Pewaris Kehormat YAB Tan Sri Dato’ Seri Megat Najmuddin Bin Dato’ Seri Megat Khas – Negeri Perak Darul Ridzuan.
  • Pewaris Kehormat YBhg. Dr. Ahmad Al Hatta; Luak Bung Hatta – Negeri Perak Darul Ridzuan & Kerajaan Minangkabau.
  • YM Dato’ Mangkubumi Shahrin Kamarulzaman Al-Rajapati Panji DiRaja Sungai Ujong – Negeri Sembilan Darul Khusus.
IPPM kini secara rasminya telah ditabalkan menjadi satu pertubuhan berdaftar dengan memegang mandat Hulubalang Istana Raja-Raja Melayu seMalaysia. Pengiktirafan ini membawa IPPM menelusuri kembali era zaman kegemilangan Hulubalang Istana Melayu 500 tahun dahulu seperti mana era di zaman Dato' Orangkaya Laksamana Tun Tuah ketika Kesultanan Melayu Melaka dan juga Orangkaya Bendahara Paduka Raja Megat Terawis Ibni Almarhum Daulat Yang Dipertuan Pagaruyung Megat Terawan di zaman Sultan Mudzaffar Shah I.

Kini di bawah tunjuk ajar Ajar-Ajar Tua Pendita Megat Ainuddin, IPPM amat menitik beratkan waris bersanad, bersilsilah dan bersusur galur daripada Ahlul Bayt Rasulullah SAW yang memakai gelaran Syed dan Syarifah selain juga membuka ruang bagi waris-waris bersanad yang lain termasuklah dari keturunan keluarga Diraja Bugis Daeng lima saudara yang dipelopori oleh Opu Daeng Perani yang bergelar 'Penjurit Agung Johan Seteru Pahlwan, seperti yang tertulis di dalam naskah kitab Tuhfat al-Nafis. Juga bagi waris-waris bersanad yang memakai gelaran Raden, Pengeran, Pangeran, Wan, Nik, Meor dan lain-lain.

Seni dan Ilmu yang diajarkan serta diperturunkan di dalam Penjurit-Kepetangan Melayu adalah di antara salah satu cabang ilmu 'peperangan Melayu yang masih lagi diwarisi dan dipelihara turun-temurun zaman-berzaman. Kehebatan bangsa Melayu dalam ilmu-ilmu peperangan dan beladiri telah banyak dicatatkan dalam manuskrip-manuskrip lama serta penulisan sekitar Asia Tenggara dan juga barat. Hal ini telah ditulis dengan jelas oleh pengarang-pengarang yang terdahulu dalam catatan-catatan yang menceritakan kehebatan ilmu peperangan bangsa Melayu seperti yang terdapat di dalam jurnal Tome Pires yang berjudul Suma Oriental. Beliau dengan jelas telah menulis mengenai seorang Laksamana Melaka – Admiral (tetapi tidak dinyatakan nama). Tulisannya diterjemahkan berbunyi begini; "Afonso de Albuquerque dan angkatan King Manuel tidak akan berjaya menawan Kota Melaka sekiranya Laksamana Melaka yang terkenal itu masih ada. Perkara ini terjadi dalam serangan pertama Portugis di bawah pimpinan Diego Lopes de Sequeira pada tahun 1509 gagal kerana Laksamana Melaka itu masih ada. Kini Melaka tiada lagi Laksamana itu lalu mereka mudah kami tewaskan." Hal yang sama juga turut disebutkan di dalam Kitab Tuhfat al Nafis karangan Raja Ali Haji di Riau yang menceritakan stategi dan bentuk peperangan 'alam Melayu' yang lengkap dengan istinggar (senapang Melayu), lela rentaka (meriam) serta tentera yang lengkap berbaju besi.

Penjurit Kepetangan Melayu ini amat menitik-beratkan pengetahuan ilmu peperangan dengan penggunaan senjata di dalam silibus pembelajarannya seperti; memanah, berpedang, berkeris, berlembing, berkuda selain ketangkasan menggunakan beladiri tangan kosong. IPPM juga turut menekankan kepentingan aspek hkeharmonian dalam kehidupan sehari-hari bagi setiap pewaris dan juga ahli-ahlinya. Keperluan untuk bermeditasi, bertapa dan bersuluk amatlah dititik beratkan di dalam setiap amalan Penjuritan bagi mendekatkan diri pengamalnya kepada Maha Pencipta serta alam-alam semulajadi. Selain dari itu, IPPM juga menganjurkan permainan 'Dabat' (seni permainan) dan juga 'Belebat' (tempur). Di antara dabat-dabat yang terdapat di dalam Penjurit-Kepetangan Melayu adalah seperti berikut:
  • Cengkau Taji Beroga
  • Kecamuk Lang Segara
  • Badai Mencak Kelambit
  • Belalak Jampuk Aru-Aru
  • Karang Jeraus Keruh
  • Gusar Harimau Akar
  • Kudrat Alam Adikara
Bagi permainan Belebat pula, IPPM juga amat menggalakkan setiap dari pewarisnya untuk merasai dan mencuba teknik-teknik bertempur yang boleh diguna-pakai selain dari asimilasi permainan dabat tadi. Perkara ini secara tidak lansung akan memahirkan setiap dari pewaris-pewaris dalam Penjurit-Kepetangan Melayu. Ini adalah salah satu sebab di mana apabila dipamerkan permainan IPPM kepada umum, akan kelihatan setiap pewaris atau pesilat akan mempamerkan corak permainan yang berbeza di antara satu sama lain mengikut kesesuaian watak peribadi dan keserasian empunya diri masing-masing.

Ilmu ninja Melayu

Mengikut kajian umum para peminat seni beladiri Melayu atau Silat secara am, hanya Penjurit-Kepetangan Melayu sahaja satu-satunya pertubuhan silat atau ilmu tua Melayu yang mewarisi seni permainan 'Ninja' atau 'Shinobi' dari Jepun melalui dari cabang permainan dabat yang dikenali dengan nama Badai Mencak Kelambit. Hal ini berlaku apabila Ajar-Ajar Tua, Megat Ainuddin berguru ilmu Penjurit-Kepetangan kepada Allahyarham Pendita Kiyai Tok Muslim Pertapa Solok Slim, iaitu salah seorang pengamal beladiri Melayu yang mengabadikan dirinya kepada kehidupan yang zuhud serta seorang ahli pertapa. Megat Ainuddin juga mewarisi ilmu ini dari seorang lagi Pendita tua iaitu Allahyarham Pendita Pak Pa'ad. Memetik dari kata-kata kedua Pendita itu dan seperti juga yang tertulis di dalam naskah Kitab Hikayat Hang Tuah, ilmu Ninja Melayu ini telah disampaikan kepada Laksamana Hang Tuah sendiri ketika beliau melawat ke satu daerah di kawasan selatan Thailand, di mana ketika itu terdapat pemberontakkan oleh beberapa orang tentera upahan (Shinobi) dari Jepun yang melakukan kekacauan di daerah Siam tersebut. Mengikut catitan di dalam Hikayat Hang Tuah, beliau telah ditugaskan untuk memerangi pemberontak dari Jepun ini. Kesemua mereka dapat dibunuh kecuali seorang Shinobi yang ingin membunuh dirinya sendiri dengan cara 'Harakiri' tetapi dihalang oleh Hang Tuah. Beliau kemudiannya telah diIslamkan oleh Hang Tuah sendiri dan Shinobi tersebut menukar namanya kepada 'Adi Golok' sempena kehebatan permainan pedang panjangnya yang seperti 'Golok Melayu'. Hang Tuah kemudiannya mempelajari 'Seni Ninja' dan 'Shinobi' ini dari pendekar Jepun.


Hal yang sama juga telah ditulis dengan jelas di dalam manuskrip-manuskrip Jepun lama dari kepulauan Ryukyu mengenai keterlibatan Shinobi-Shinobi Jepun di dalam kancah politik dan Istana di negara-negara sekitar Asia Tenggara termasuklah Melaka, Siam dan di Kepulauan Jawa. Mereka-mereka ini bertindak sebagai 'askar upahan' atau 'Ronin' bermula dari kurun ke-14 sehingga era penjajahan Belanda sekitar kurun ke-16. Campur tangan Shinobi Jepun ini banyak tercatat dalam jurnal-jurnal Portugis dan juga Belanda.

Satuo Senaman

Bermula sejak penghujung tahun 80an lagi, Megat Ainuddin dan IPPM secara amnya kerap mempromosikan senaman-senaman Melayu lama yang diwarisi turun-temurun. Bentuk senaman ini diberi nama Satuo Senaman (Dialek: Minang) atau Setua Senaman dan mula dipromosi kepada umum melalui majalah Waris, Majalah Pendekar (tahun 80an) dan kemudiannya Majalah Seni Beladiri (lewat tahun 90an). Amalan-amalan serta petua di dalam senaman Melayu lama ini termasuklah dari jenis senaman harimau, senaman kucing, senaman tujuh, senaman tiga belas dan beberapa jenis amalan dan petua lagi yang boleh diamalkan oleh umum bagi tujuan menjaga kecantikkan, kesihatan tubuh badan selain dari menjaga aliran dan tertib pernafasan dengan betul.

Pada tahun 2005, Ajar-Ajar Tua Megat Ainuddin dengan usaha sama Professor Madya Dr. Nor Anita Megat Nordin telah menghasilkan sebuah buku panduan senaman bagi lelaki dan wanita berjudul Senaman Silat Jiwa Sihat dan Senaman Silat Wanita terbitan Al Ameen Publishing. Buku ini merupakan panduan lengkap rahsia-rahsia senaman Melayu termasuk juga dengan kaedah-kaedah penjagaan pernafasan bagi khalayak umum. Buku 'Senaman Silat Wanita' juga turut mendapat sambutan yang hangat sehingga diadaptasi ke dalam program realiti TV9, Gadis Melayu.


JAMGAN LUPE TEKAN IKLAN-IKLAN YANG ADA DALAM BLOG INI..CUKUP LAH HANYA SEKALI...TERIMA KASIH... Please Click the advertisment. Once is enough. thank You

No comments :

Berita Panas Hari Ini.....

SILA TINGGALKAN KOMEN ANDA DISINI....TERIMA KASIH

Get widget