Adapun mengikut hikayat persejarahan lama dalam kitab khazanah persilatan Melayu di Tanah Melayu, Kitab
Pusaka Sri Gayong Panglima Ulung ada menyebut tentang sejarah Silat
Melayu Tanah Melayu adalah dibawa daripada amalan Ulama Sufi Islam dari
benua Arab. Adapun tokoh utama mereka ada dua orang, walaupun yang lain
tidaklah ditonjolkan nama mereka itu kerana mereka berdua itu dan
rombongan adalah Ketua Panglima Besar Islam dan sahabat Rasulullah S.A.W
yang datang ke Tanah Melayu melalui dua jalan utama dunia perdagangan
antara Dua Benua, iaitu Benua Timur Tengah dengan Benua Asia (Sebelum
dibuka terusan Suez). Adapun mereka berdua itu bernama Panglima Saad.
Satu yang melalui jalan pelayaran laut melalui Laut Arab, Tanjung
Pengharapan dan Gujerat India/ Serindib (Sri Lanka), datang dari Habsah
bernama akan dia Panglima Saad bin Lubaid. Kerana Hubungan Dagangan
Utama dengan Canton di Tenggara di China, Tanah Melayu telah menjadi
persinggahan penting ditengah-tengah perjalanan dan utama jalan antara
Arab-China.
Walaupun Kerajaan Melayu Melaka belum dibuka oleh Parameswara (Megat Iskandar Syah) dari
Palembang, tetapi kerajaan Melayu tua telah wujud di beberapa tempat di
sebelah utara iaitu Langkasuka, Patani ( Selatan Thailand), Bruas/
Manjung (Gangga Negara) di Perak, Kelantan Tua (Tanah Merah) dan
Terengganu Tua (Besut/ Setiu). Di Melaka, walaupun masih belum wujud
kerajaan tetapi telah ada perkampungan nelayan orang Melayu dan menjadi
persinggahan perahu dan kapal layar penduduk tempatan, Nusantara dan
pedagang antara Arab-China. Pedagang Islam membawa barangan daripada
benua Asia untuk dijual di pasaran Eropah oleh Orang Itali. Tanah Melayu
telah menjadi popular dikalangan orang Arab, China, India dan Nusantara
sebelum kerajaan Melayu Melaka lagi. Adapun kedatangan Panglima Saad
menyebarkan Islam ke alam Nusantara sehingga China pada abad ke-5 dan 6
Masihi. Ramai dikalangan mereka aliran mazhab Maliki. Orang-orang melayu
di Perkampungan Nelayan mula tertarik dengan peribadi mulia dan
persahabatan mulia rombongan Arab dan mula menganut Islam, walaupun
kebanyakan pemimpin dan ketua negara mereka masih belum menerima Islam.
Orang-orang Melayu mula mempelajari Islam dan amalan kerohanian/
kesufian daripada mereka itu secara bersembunyi-sembunyi. Kedua-dua
Panglima Islam r.a mendidik mereka tentang ilmu mempertahankan diri
sebagai persiapan mereka ke arah berkerajaan dan bernegara untuk masa
akan datang.
Sementara di negara China pula
orang China Islam dikenali sebagai “Hui-Hui”/ “Hwei Hwei” / “Ta- Shih”.
Tempat pengajian dan tarbiah agama ini berlaku di Tanah Melayu di “Lima
Pulau” yang disebut oleh orang China Islam sebagai “Wushu”. Orang Melayu
Islam dari Tanah Melayu, Orang Islam dari India, Orang Islam China dan
orang-orang dari benua arab berulang –alik ke “lima pulau” di Tanah
Melayu sebagai tempat pendidikan awal. Dengan ajaran kerohanian/
kesufian ini dan seni mempertahankan diri ini di Tanah Melayu dikenali
sebagai ilmu Persilatan atau ilmu “Gayong”. Ramai di kalangan pelajar
ini menjadi Pendekar atau tentera kepada kerajaan Melayu. Orang China
Islam memanggil ilmu perang “Wushu”. “Wu” bermaksud “Lima” dan “Shu”
bermaksud “ Pulau-pulau”. Lima buah pulau menjadi pusat operasi
pengembangan ilmu itu ialah: 1. Pulau Besar, 2. Pulau Serimbun, 3. Pulau
Lalang, 4. Pulau Burung dan 5. Pulau Hanyut di hadapan Tanah Besar
(Melaka). Berdasar kepada pedoman yang dinyatakan dalam pusaka tua ini,
ianya berlaku antara tahun-tahun 53-54H/620-676 Masihi. Pada masa ini
China berada di bawah pemerintahan Dinasti Tang (618-905M). Pada masa
Dinasti Tang, pelayaran dan perdagangan orang China sudah sampai ke
Teluk Parsi melalui Jalan Utama perdagangan di Tanah Melayu sekitar abad
ke5-7Masihi. Penduduk di “Lima Pulau” adalah daripada pelbagai wilayah
di Tanah Melayu lain seperti . Orang Melayu Tanah Melayu selain belajar
di “Lima Pulau” juga membawa bahan-bahan untuk dagangan. Mereka itu dari
Besut/ Setiu dan Batu Rakit dari pelabuhan kerajaan Terengganu Tua,
dari kerajaan Patani dan Kelantan Tua, dari Pulau Pangkor/ Lumut dari
kerajaan Bruas/ Manjung di Perak, dari Muar (Johor-Riau Lingga), dari
Kerajaan Langkasuka dan Kedah Tua, dari Palembang, Perlak-Pasai, dan
lain-lain.
Sesuai dengan sistem jalan laut sebagai jalan perhubungan utama, Ilmu Gayong disebar luas oleh
orang-orang laut yang menjadi kelasi kapal dagang. Persilatan atau ilmu
Gayong yang dikembangkan di pesisir pantai Tanah Melayu ikut aliran
kesufian tempatan berunsur Burung/ dan hidupan air seperti Gayong
Helang/ Rajawali/ Layang-layang/ Naga/ Jala (Silat Pulut/Pengantin)//
Ikan Pari-pari dan lain-lain. Bagi penduduk di kawasan darat dan tanah
tinggi pula ilmu kegayongan yang popular ialah Gayong Harimau, Ular,
Singa, Helang Putih, Helang Merah, Cencadak (disebut Sudu Senu di
Kelantan , Terengganu: Besut/ Setiu), Halilintar dan lain-lain. Setelah orang Maharaja China pada masa Dinasti Tang menjalankan dasar buka pintu kepada
pedagang asing, Orang Melayu pedagang disebut “Kiwi” bersama dengan
Ulama’ Arab menduduki petempatan di Tenggara China di Kwang Chow
(Canton), Chang Chow dan Chuan Chow. Ahli pelayaran Melayu yang mashor
disebut Panglima Awang / Awang Dagang dari Terengganu.
Mengikut sejarah Islam di China, sejak Hidup Rasulullah S.A.W iaitu pada tahun 619/ 620 Masihi,
Rasulullah S.A.W telah izinkan 101 muslimin dan muslimat berhijrah ke
Habsyah di ketuai oleh Panglima Saad bin Lubaid. Kemudian Panglima Saad
mengikut kapal belayar ke China (Canton) pada 630/ 631M untuk
menyebarkan agama Islam. Beliau dan rombongan telah singgah di Tanah
Melayu sebelum ke Canton. Makam/ kubur Saad bin Lubaid terdapat di
perkarangan Masjid di Kwang Tah Se di Canton. Disebut orang juga sebagai
Saad bin Lubaid al-Habsyi yang pembantunya bernama Yusuf. Selain di
Tanah Melayu mereka mengembangkan Islam di Chuan Chow, Chang Chow dan
Canton. Mereka telah mendirikan Masjid di Canton iaitu Masjid Kwang Tah
Se dan Masjid Chee Lin See.
Orang Melayu yang beragama Islam
yang berhijrah ke China ada yang berkahwin dengan orang tempatan
dikenali dengan puak “Hui-Hui” dan “Ta-Shih Kueh” dan “P’o-Si” iaitu
keturunan Melayu-Arab-Parsi. Puak-puak ini bergabung pula dengan
puak-puak China Islam seperti “Hui-Chi”, Ching Jen dan Ch’ing Jen Jiao.
Ilmu persilatan Melayu atau “Gayong” di China dikenali sebagai “Wushu”.
Ilmu ini berkembang bersama dengan konsep setiap orang Islam itu
bersaudara melaui kahwin campur. Golongan pelayar dan pedagang Melayu
yang mengikuti pelayaran Ulama’ Sufi Arab, Parsi dan India
Gujerat/Cambay telah menyebarkan ilmu persilatan atau “Gayong”
dikalangan orang-orang China Islam. Mereka para ahli pelayaran/ pedagang
ini diberi kebenaran membuka perkampongan di Canton. Kelompok Melayu
dan orang-orang Islam telah berkembang pesat di China sehingga dikenali
dengan beberapa puak lagi seperti Da’-Syman, Mu-Su-Lu-Man dan
Bu-Syu-Man.
Panglima Islam yang melalui jalan darat, Jalan Sutera Lama melalui Khurasan, Samarqand, Sinkiang
dan terus ke Peking, seterusnya belayar ke Tanah Melayu di Kerajaan
Terenganu Tua (Besut/Setiu), kira-kira tahun 675Masihi. Panglima Islam
ini telah meruntuhkan Dinasti Sassamiyah, Dinasti Parsi (kafir) terakhir
dibawah pemerintahan Yezdegird III (632-651M). Islam telah menakluki
Parsi pada 634-641M. Firuz (Pi-lu-su) anak Yezdegird dapatkan bantuan
Maharaja Kao Tsung (627-650M) seterusnya menyerang Khurasan pada 651M
tetapi pemberontakan itu telah dipatahkan oleh tentera Islam pimpinan
Ahnaf bin Kais al-Tamimi. Firuz lari ke China. Akibat campurtangan China
ke atas Kerajaan Islam Parsi, Khalifah Uthman Al-Affan R.A telah
menghantar satu misi ketenteraan ke Changan kerana membantah bantuan
China kepada Firuz. Ketua Rombongan itu ialah sahabat Rasulullah S.A.W,
Saad Abi Waqas. Setelah melarikan diri dari Serangan tentera Islam,
Firuz berkhidmat sebagai Kapten Pengawal Maharaja China pada tahun 674M.
Kedatangan Rombongan Panglima Saad bin Abi Waqas juga diterima baik
oleh Maharaja China dan Islam dibenarkan disebar-kembang di negara
China. Justeru itu Saad Abi Waqas tidak menyerang negara China tetapi
sebaliknya belayar ke Tanah Melayu kira-kira pada 675Masihi ke Besut/
Setiu Terengganu melalui pelabuhan Batu Rakit dan di “Lima Pulau”
mengembangkan ilmu Islam dan siasah-perang. Beliau pulang kembali dan
Saad Abi Waqas ke rahmatullah/wafat pada 55H/bersamaan 677/678M di
makamkan di Madinah.
Ramailah orang Melayu Terengganu menganut Islam sehingga wujud satu Legenda Ilmu Perang “Tok Syeikh Serban Kuning dan Tok Syeikh Serban Hijau” di Besut/ Setiu di Terengganu.
Pada masa perkembangan Islam dibawah Khalifah Umaiyyah, Rombongan Islam juga sampai di Tanah
Melayu. Persilatan pada masa itu dikenali sebagai Kumpulan Gayong
“Semutar Putih” dan kumpulan ini bersama-sama rombongan Umaiyyah ke
negeri China di kenali sebagai Puak “Ta-Shih” kerana mereka berjubah
putih. Apabila Kejatuhan Kerajaan Umaiyyah kepada Abassiyah, Tanah
Melayu juga mengalami perubahan dengan kemunculan Pendekar “Semutar
Hitam” kerana panglima Abassiyah berjubah hitam. Pada masa Khalifah
Al-Walid (705-715M) dibawah pimpinan Panglima Qutaybah bin Muslim, orang
Melayu juga bersama menguasai Sinkiang sehingga Kansu, tetapi tidak
meneruskan peperangan sebaliknya menukar strategi diplomatik dengan
Maharaja Hsuan Tung (713-756M). Ketika di bawah pimpinan Panglima
Hisyam bin Abd. Malik (724-743M). Orang Melayu juga mengikuti rombongan
Abbasiyah ke China dikenali sebagai puak “Ta-Shin” atau “Heh-i-Ta-Shih”.
Pada masa pemerintahan Islam
Abbasiyyah (751M) tentera Islam bertembung dengan tentera China dibawah
pimpinan Kao Hsien-Chih, Tentera Abbasiyyah menang dan seluruh Asia
Tengah dikuasai oleh Islam. Selepas itu, bidang ketenteraan di China
pada masa pemerintahan Kerajaan Dinasti Tang dikuasai oleh orang Islam. Maharaja China, Su Tsung (756-763M)
yang menggantikan bapanya Hsuan Tsung meminta bantuan tentera Islam
“Wushu” iaitu gabungan Arab-Parsi-Melayu-Cina Islam dibawah pimpinan
Panglima Abu Muslim (Abbasiyyah) atau disebut Panglima Agong akibat
pemberontakan Jeneral An Lu-Shan. Kumpulan Melayu menamakan mereka para
pendekar “Semutar Hitam” di ketuai oleh “ Panglima Hitam”.
Maharaja Su Tsung berjaya menawan kembali kota Si-ngan-fu (Sianfu) dan
Ho-nan-fu (Hananfu) dengan bantuan orang-orang Islam termasuk kumpulan
pendekar “Semutar Hitam”. Mereka ramai kahwin dengan penduduk tempatan
dan tinggal di sekitar Kansu dan Shensi. Ramailah orang Islam berhijrah
ke China termasuklah orang-orang Melayu pada masa pemerintahan Maharaja
Choon pada tahun 814-847M.
Orang-orang Islam di China termasuk
keturunan Melayu telah mengalami detik sejarah hitam paling pahit
apabila terpaksa lari keluar dari negara China akibat masalah agama dan
perkauman di China bila orang-orang Islam tidak menyertai perayaan
Kebesaran China dan Upacara rasmi telah dipolitik dan propaganda anti
asing pada 876M akibat kebangkitan di Tenggara China pimpinan Hwang
Chau. Orang Islam tewas dan melarikan diri daripada serangan orang puak
“Han” ke Tanah Melayu, Palembang dan Campa. Kemudian menjadi titik tolak
perkembangan Islam penyebaran ilmu persilatan Melayu (Gayong) atau
“Wushu” di Campa (Vietnam) dan Palembang (kemudian meruntuhkan kerajaan
Sri Wijaya).
Pada tahun 906M, Dinasti Tang jatuh.
Hubungan dengan orang Islam merosot dan wujud dinasti-dinasti kecil,
tetapi disatukan oleh Dinasti Sung (960-1279M). Hubungan China dengan
orang Islam termasuk dengan orang-orang Melayu semakin baik. Perdagangan
Kemenyam, gaharu, minyak wangi, buah zaitun, kurma arab, permaidani,
gading gajah, minyak atar, batu permata, mutiara dan pedang kembali
menggalakkan. Saudagar Melayu dan Arab kembali bertapak semula di China.
Ketua orang pedagang Islam di China amat mashur disebut “Pu Shou Keng”
keturunan Arab-Melayu dilantik oleh Maharaja Sun Yu sebagai Pesuruhjaya
Cukai dan berjaya menghapuskan lanun di sekitar perairan Fukien. Namun
begitu “Pu Shou Keng” telah menyokong Kublai Khan menyerang China untuk
mengembang kembali Islam di China. Orang-orang Islam bersatu menjatuhkan
Dinasti Sung di Utara untuk mengangkat puak Genghis Khan (1162-1227M).
Namun begitu, bahagian selatan Sungai Yang Tze masih di kuasai oleh
Kerajaan Sung Selatan hingga tahun 1279M. Apabila tentera Mongol dibawah
pimpinan Kublai Khan dengan bantuan orang-orang Islam “Wushu” telah
berjaya menguasai seluruh China dan membentuk Dinasti Yuan (1279-1368M),
ibukotanya di Khanbalik (Sekarang Peking). Masalah timbul bila
cendikiawan China tidak mahu bekerjasama membangunkan kerajaan dibawah
Dinasti Yuan. Kerajaan Yuan terpaksa mempelawa bijaksana Islam dari luar
China termasuk di Alam Melayu untuk membangunkan negara China. 12 orang
gabenor beragama Islam telah dilantik. Ketua Pemungut Cukai ialah Abdul
Rahman (1244M). Kublai Khan telah melantik seorang Menteri Kewangan
bernama Syed Umar Syamsuddin di kenali Syed Ajal atau orang China
menyebut Say Dian Chih ( Sai T’ien-Chih). Pada 1259 di angkat menjadi
Gabenor wilayah Yunan serta mengislamkan penduduk Yunan. Syed Umar tadi
di gelar Putera Hsien Yang, menerima anugerah tertinggi kerajaan Yuan.
Meninggal dunia pada 1279M. Sebagai mengenang jasa beliau, orang China
telah membina tokong khas.
Seorang lagi tokoh Islam “Wushu”
berjasa di China ialah Ahmad al-Fanaqati dilantik pada masa Dinasti Yuan
sebagai Pegawai Kewangan, menyebabkan kedudukan kewangan China Mantap.
Marco polo pernah menyebut dalam catatannya, pengaruh Ahmad amat kuat
dan dicemburui oleh pembesar-pembesar China yang lain seperti Chien Hu
dan Wan Hu. Ahmad kemudian dibunuh. Kematian Ahmad memperorak perondakan
matawang dan perbendaharaan Negara China sehingga wang kertas hampir
tidak laku sehingga tahun 1311M percetakan wang kertas diberhentikan.
Sebahagian besar tentera Mongol menganuti Islam dan mempelajari Warisan
ilmu “Wushu” termasuk Ahnan Da, Gabenor An Si beserta 150,000 orang
menganut Islam. Panglima Islam “Wushu” yang amat mashor yang
menggantikan Say Dian Chih ialah anaknya, Nasruddin, yang berjaya
mempertahankan Yunan daripada serangan Burma di bawah Raja
Narathihapate. Tentera Burma cuba menceroboh masuk ke Yunan pada 1287M
tetapi dapat dikalahkan oleh tentera pimpinan Nasruddin dan para
pendekar “Wushu” di Lembah Vochang. Tentera Burma ketika itu berjumlah
60,000 orang termasuk tentera bergajah. Tentera Nasruddin dan pendekar
“Wushu” hanya 12,000 orang sahaja. Ahli teknologi pada zaman Dinasti
Yuan ialah Alauddin al-Mufari (A-lao-wa-ting) dan Ismail al-Syam
(I-ssu-ma-yin), pakar membuat meriam termashur kemudian mengembangkan ke
Melayu Campa dan Melayu Patani. Alauddin kemudian dilantik sebagai
wakil Panglima Perang dan Ismail sebagai Ketua penyelia Kilang Meriam. Seorang pereka cipta takwim China
dikatakan keturunan Melayu iaitu Wan-Nien-Li (Wan Nik Li). Takwim itu
menjadi takwim rasmi China pada 1281M. Dinasti Yuan bertahan selama 90
tahun di China.
Rasa tidak puashati kepada orang mongol
telah menyebabkan satu gerakan pakatan pendekar Islam Wushu dengan
rakyat China tempatan bagi menjatuhkan Dinasti Yuan. Kebangkitan seorang
pemuda Islam dari Wilayah Selatan Sungai Yang Tze dengan bantuan puak
Han bagi membolehkan negara China di perintah oleh orang China sendiri.
Tentera Wushu memberontak yang di sebut sebagai Kebangkitan “Serban
Merah” melancarkan jihad dipimpin oleh pemimpin orang Islam seperti Kok
Tze Hin, Chu Yuan Chang, Ratu Ma, Chang Yui Chong, Hu Dah Hai, Ten Yu,
Lan Yui, Mung Ying dan Tang Ho (semua pendekar Wushu Islam) merupakan
zaman kebangkitan orang-orang Islam dipimpin oleh Jeneral dari Feng Yang
dengan nama chinanya Kuo-Tzu-Hsing (Kok Tze Hin). Setelah kematian Kok
Tze Hin, pimpinan disandang oleh anak lelakinya Kok T’iien –Shu,
kemudian menantu angkatnya Chu Yuan Chang (1328-1389M). Chu Yuan Chang
keturunan Semu (Semitik) mengistiharkan dirinya sebagai Maharaja Ming
yang pertama dengan gelaran “Maharaja Hung Wu”. Dinasti Ming adalah
dinasti pemerintahan beraja Islam (Ibrahim T.Y Ma,1979:124-135).
Permaisurinya Ratu Ma Hon (1332-1382M) memang sah Islam berasal dari
keluarga Ma di An Hui, walaupun tidak dijelas secara terperinci oleh ‘
The Cambridge History of China’ . Ketika berlaku pemberontakan, Putera
Chang Chu menentang anak saudaranya, Maharaja Kien Wen. Cucu Chu Yuan
Chang, iaitu kien Wen telah melarikan diri ke Makkah. Walaupun amalan
confucianisme dibenarkan dalam istana tetapi agama Islam merupakan
anutan keluarga Diraja.
9 orang Panglima Islam Wushu yang bergabung dengan Chu Yuan Chang ialah;
1. Hsu Tah (1331-1385M)
2. Ch’ang Yu-Chun (1330-1369M)
3. Li Wen-Chung (1339-1384M)
4. T’ang Ho (1325-1395M)
5. Teng Yu (1336-1377M)
6. Hu Tah-hai (1367M) dari Ssu Shi
7. Hua Yun (1321-1360M) dari Huaiyuan
8. Ting The- Hsing (1367M) dari Ting Yuan, dan
9. Mu Ying (1344-1392M)
(Sumber Yusuf Chang:1988:8-9)
Tindakan awal Chu Yuan Chang
setelah menawan Nanking ialah mendirikan sebuah masjid jamik dan
mencipta sebuah sajak memuji Rasulullah s.a.w. Masjid itu dinamakan
Masjid Chin Juieh (Masjid pencerahan murni). ‘Ming’ membawa maksud
‘gilang gemilang’ atau terang benderang mengambil sempena tindakan
Rasulullah ketika mula sampai ke Yathrib pada 622M, telah menukarkan
nama nama kota itu kepada Madinah al-munawarah membawa maksud “kota
gilang gemilang. Catatan dalam dinasti Ming tentang Cheng Chu adalah
Maharaja Yung Lo (beragama Islam) telah mengharamkan penternakan dan
penjualan babi/khinzir. Di catat dalam sejarah bahawa Pahlawan “Wushu”
yang mashor iaitu Laksamana Muhammad Ma Ho atau lebih dikenali dalam
sejarah Melaka sebagai Laksamana Cheng Ho, merupakan seorang Islam di
Yunan. Masa Muda telah ditawan oleh Keluarga Ming dan diserah kepada
Cheng Chu. Beliau telah berkhidmat dengan Cheng Chu sehingga ditukar
nama kepada Putera Cheng Ho setelah Laksamana Cheng Ho membantu Putera
Cheng Chu merampas kuasa daripada Maharaja Kien Wen (1398-1403M).
Laksamana Cheng Ho telah dilantik memimpin armada laut China. Putera
Cheng Chu di gelar Maharaja Yung Lo. Laksamana Cheng Ho telah memimpin
angkatan armada laut China keluar ke laut selatan dan barat dengan 62
buah armada besar melalui Selat Melaka pada 1405M, tetapi tidak singgah
di Melaka. Laksamana Cheng Ho keluar belayar melalui Selat Melaka
sebanyak 8 kali. Pelayaran keduanya pada 1405-1424M. Semasa pelayaran
balik ke China pada 1407-1409M dan pelayaran ke-4 (1413-1415M),
Laksamana Cheng Ho telah singgah di Melaka. Sebagai persaudaraan Islam
tanda persahabatan, Laksamana Cheng Ho telah mempelawa Sultan Megat
Iskandar Syah, Sultan Melaka pertama yang menerima Islam mengikutnya ke
China untuk menziarahi Maharaja Islam China iaitu Maharaja Yung Lo.
Sultan Megat Iskandar Syah telah memperkenan permintaan Laksamana Cheng
Ho untuk menziarahi Maharaja Yung Lo. Pembantu Laksamana Cheng Ho ketika
itu ialah Laksamana Muda Heo Shien (Hussin) berasal dari Tanah Melayu.
Wallahuaklam.
No comments :
Post a Comment