Monday, 26 August 2013

Silat

dipetik dari http://ms.wikipedia.org/wiki/Silat

Seni Silat atau Pencak Silat adalah salah satu seni mempertahankan diri bagi bangsa Melayu atau Nusantara yang diamalkan sejak berkurun yang lampau. Usia sesebuah ilmu atau salasilah seni silat tidak dapat dihuraikan secara terperinci dan tepat kerana tiada usaha-usaha untuk mengkaji dari pihak berwajib secara mendalam. Ada yang menganggarkan seni ini telah berusia beratus-ratus tahun dan diperturunkan dari generasi ke generasi. Ini termasuklah pengamal-pengamal seni mempertahankan diri ini di Brunei, Filipina, Indonesia, Malaysia, dan Thailand. Mereka yang belajar silat digelar pesilat. Amalan sekarang, pegajar atau guru silat digelar jurulatih dan seorang yang mewarisi aliran sesuatu perguruan digelar Guru Utama aliran itu.Kebanyakan guru silat kini menolak gelaran Mahaguru kerana bagi mereka gelaran 'maha' hanya sesuai untuk Allah (Tuhan) dan ini menepati perawakan guru silat yang kebiasaannya gemar menyembunyikan kemahiran mereka dan amat merendah diri. Pesilat senior yang telah lama berkecimpung dalam dunia silat sebagai pengajar (atau menyembunyikan kemahiran mereka), berkemahiran tinggi dan ada di antaranya mewarisi beberapa aliran yang telah hilang digelar sebagai Guru Tua dan amat dihormati. Pesilat yang mempunyai tahap silat yang tinggi digelarkan pendekar.

Antara senjata-senjata Melayu lama yang sering digunakan oleh pesilat adalah seperti keris, badik, kerambit, parang, pedang, lading, Tumbuk Lada, tekpi, tongkat, tembong dan sundang. Bagi silat yang tidak menggunakan senjata, pengajaran akan menumpukan perhatian kepada pertempuran tangan kosong (tanpa senjata). Secara am sesebuah aliran silat mengajar kedua-dua kemahiran dan aliran yang hanya menumpukan salah satu daripadanya adalah sedikit. Kebiasaannya seseorang penuntut atau murid baru akan ditumpukan kepada kemahiran tempur tangan kosong sebelum diajar bermain senjata. Bagi sesetengah aliran, hanya murid yang diiktiraf berkemahiran dan mempunyai adab keperibadian yang tinggi dibenarkan mempelajari kemahiran senjata, terutama bagi yang mempunyai senjata yang dianggap senjata 'rasmi' bagi aliran itu.
Pergerakan silat terbahagi kepada bunga (pergerakan seolah-olah tarian, digelar juga seni atau tari) dan buah (pukulan atau buah pukul). Bagi mereka yang tidak pernah melihat seni pertahanan diri ini, mungkin ia kelihatan seperti sejenis tarian. Namun terdapat aliran yang hanya mempunyai buah seperti Silat Cekak dan Buah Bentayan. Seni tari yang halus ini memungkinkan ia digunakan sebagai persembahan dalam sesuatu majlis keramaian, malah hampir setiap aliran mempunyai 'tari sembah' termasuklah aliran yang tidak mempunyai bunga. Tari sembah ini dipersembahkan untuk memperkenalkan diri dan aliran yang diwakili/dipelajari. Dalam situasi pergaduhan, permulaan langkah dari tari sembah atau sejurus dari bunga yang diperlihatkan membolehkan pesilat mengenali rakan sealiran dan memungkinkan situasi berakhir dengan damai dan bermaaf-maafan.

Adalah menjadi ungkapan yang terkenal dan biasa disebut oleh guru-guru silat bahawa bunga silat mempunyai seribu satu muslihat. Selain daripada kelihatan mengelirukan (seolah-olah menari) dan sebab-sebab di atas, bunga juga digunakan untuk memberi masa dan ruang kepada lawan untuk menghulurkan salam perdamaian (ini dapat dilihat dalam kebanyakan bunga yang kelihatan seperti menghulur salam), menyembunyikan buah dan sudut serangan dan mengacah serta mengumpan lawan (kadangkala sehingga sengaja menunjukkan bahagian tubuh tertentu bagi diserang untuk memerangkap musuh). Silat Gayung Fatani terkenal dengan pergerakan bunga yang cantik dan istilah 'melilit'. Pesilat aliran ini akan sengaja memberi ruang dan isyarat kepada musuh untuk menyerang atau cuba melepaskan diri, di mana semakin musuh itu menyerang setelah termasuk perangkap kuncian, maka semakin ketat mereka akan 'terbelit' dalam kuncian pesilat aliran ini.

Silat juga terkenal sebagai sistem pertahanan diri yang banyak menggunakan kuncian, sama ada kunci urat saraf atau anggota tubuh. Istilah 'kunci mati' adalah sinonim dengan silat.

Jenis silat (umum)

Timbul salah faham di kalangan orang ramai bahawa silat seni seperti silat pulut adalah biasanya dipersembahkan pada majlis rasmi dan majlis keramaian seperti majlis perkahwinan manakala silat dari jenis buah pukul atau seni tempur pula lebih banyak disorokkan dari pandangan ramai atas dasar-dasar memelihara seni, muslihat permainan dan beberapa alasan yang lain. Hakikatnya 'silat pulut' bukanlah satu aliran silat berlainan yang hanya memfokuskan persembahan dan tidak boleh mempertahankan diri. Ia hanyalah terma atau gelaran yang digunakan apabila pesilat merancang acara persembahan mereka di majlis keramaian. Ini termasuklah tari sembah dan pertempuran yang diatur. Sudah tentu rahsia dan muslihat permainan aliran tidak dipertontonkan. Kebiasaannya sekumpulan pesilat menubuhkan kumpulan 'silat pulut' ini untuk membincangkan dan berlatih untuk persembahan-persembahan di majlis keramaian di kejiranan mereka. Inilah asalnya wujud 'aliran' atau 'sekolah silat pulut'. Nama silat pulut ini dikatakan berasal daripada 'pulut pengantin' (majlis-majlis perkahwinan di mana ia selalu dipersembahkan).

Silat sehingga kini sudah banyak yang dipecahkan alirannya, seperti mana pecahnya silat Gayung (Gayung Laksamana, Gayung Laksamana Pahang dan lain-lain lagi). Di Malaysia sahaja terdapat hampir 500 Perguruan Silat yang telah dapat dikesan.

Terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa silat kini semakin tidak mendapat sambutan daripada golongan pemerintah yang sepatutnya memelihara seni ini dengan alasan terdapat unsur-unsur khurafat yang terdapat dalam silat. Dengan kesedaran pembangkitan Islam hari ini, guru-guru aliran telah menentang dan membuang amalan-amalan yang dilihat bertentangan dengan ajaran agama seperti jampi serapah, pemujaan makhluk ghaib tertentu dan sebagainya. Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA) sendiri telah banyak membawa usaha pemodenan dalam dunia silat hari ini. Apa yang pasti Silat akan terus menjadi warisan dan lambang jati diri Melayu sedunia.

Sejarah

Silat tersebar sepanjang Nusantara Melayu sejak abad ke-7 M, tetapi asal-usulnya masih tidak diketahui lagi. Meskipun, silat telah diakui sebagai seni Melayu asli. Orang Melayu yang telah menetap di bandar-bandar pantai pulau Sumatera dan Semenanjung Melayu, dari Aceh di utara ke Kelantan, Kedah dan Kepulauan Riau di selatan, dan Pattani di utara adalah orang yang mengamalkan silat. Perhubungan dengan kumpulan suku kaum lain di bandar-bandar pantai telah juga mempengaruhi bentuk silat. Adanya bukti bahawa budaya China dan India telah mempengaruhi gaya-gaya seni mempertahankan diri itu. Apabila Islam disebarkan sepanjang nusantara abad ke-14, ia diajar di samping dengan silat. Selain seni bertarung dan tarian budaya rakyat, silat kemudian menjadi suatu latihan rohaniah.

Silat telah diperhaluskan ke ciri keistimewaan sultan, panglima dan pendekar sewaktu empayar Kesultanan Melaka, Majapahit dan Srivijaya. Ia adalah waktu apabila silat tersebar sepanjang Semenanjung Melayu, Jawa, Bali, Sulawesi dan Borneo. Orang Melayu, terutamanya di semenanjung Melayu, menganggap cerita legenda Hang Tuah pada abad keempat belas sebagai bapa silat.

Silat berkongsi sejarah yang sama di Malaysia (termasuk Singapura ketika itu), Brunei dan Indonesia sewaktu era penjajahan sebagai suatu wadah untuk membebaskan diri daripada kekuasaan penjajah. Sewaktu era pasca penjajahan, silat telah menikmati populariti dan nama yang tinggi oleh kerana jasa-jasa pendekar yang telah memimpin perjuangan dan mengorbankan nyawa untuk kemerdekaan.

Kegunaan daerah

Di Indonesia, pencak silat telah dipilih pada 1948 sebagai suatu istilah kesatuan untuk seni pertahan diri mereka. Ia adalah suatu kata majmuk dari dua istilah yang umumnya digunakan untuk seni pertahan diri di Indonesia. Pencak adalah istilah yang digunakan di Jawa tengah dan timur, sementara silat digunakan di Sumatera. Dalam kegunaan moden, pencak dan silat dilihat sebagai dua aspek pada amalan yang sama. Pencak adalah aspek persembahan pada seni pertahan diri, sedangkan silat adalah inti perkelahian dan seni pertahan diri.

Di Bali, dengan suatu penduduk (94%) Hindu, silat adalah suatu kuasa kesatuan dalam setiap district dan hampir setiap kampung.[perlu rujukan] Arahan rasmi mengambil tempat setiap pagi dan petang oleh satu dari dua pertubuhan: Bakti Negara dan Kertha Wisesa. Di Malaysia, silat adalah suatu istilah yang digunakan sebagai istilah payung untuk semua seni pertahan diri Melayu. Contoh-contoh pada gaya-gaya silat di Malaysia adalah Silat Cakar Harimau, Silat Gayung Zahir 9, Silat Pancasila, silat gayong maarifat, Silat Keris Lok Sembilan, Silat Gayung Pusaka, Silat Seni Gayong dan Silat Lian Padukan. 1 dalam 5 orang Melayu di Malaysia mengamalkan silat.

Di Malaysia, Perguruan Silat diberi nama mengikut masyarakat seperti Silat Minangkabau, Silat Bugis, Silat Jawa dan Silat Kerinci. Terdapat juga perguruan yang diberi nama mengikut daerah seperti Silat Gayong Fatani, Silat Gayungman Kedah, Silat Buah Pukul Mersing dan Silat Pukulan Melaka. Terdapat juga perguruan yang diberi nama mengikut tokoh seperti Silat Hang Tuah, Silat Cekak Ustaz Hanafi, Silat Mat Kilau dan Silat Sendeng Hj Hamid. Terdapat juga perguruan yang diberi nama mengikut motif gerak dan semanagat haiwan seperti Silat Rajawali, Silat Penyu, Silat Siamang Laut dan Silat Harimau.

Perkembangan

Selepas merdeka (1957) terdapat ratusan aliran Perguruan Silat di Malaysia. Pemerintah di Malaysia telah mengarahkan pengamal silat mewujudkan persatuan silat dan didaftarkan atas tujuan untuk membina, meyusun dan pengurusan silat yang lebih baik. Sarana tersebut disambut baik, maka beberapa kumpulan silat telah didaftarkan. Di sinilah bermulanya wujud pelbagai nama alairan penguruan silat kerana setiap pendaftar mestilah mempunyai nama kumpulan masing-masing.

Pada tahun 1978 Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Malaysia ketika itu berusaha untuk mewujudkan satu badan atau gabungan peringkat negara yang boleh membangunkan silat secara lebih berkesan, maka wujudlah Majlis Seni Silat Malaysia (1983). Kemudiannya ditukar kepada nama baru iaitu Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia atau PESAKA Malaysia, dan lulus pendaftarannya pada 1986. Pesaka malaysia telah dianggotai oleh empat anggota bertaraf badan pendiri Pesaka Malaysia iaitu Seni Gayung Fatani Malaysia, Silat Seni Gayong Malaysia, Silat Lincah Malaysia dan Silat Cekak Malaysia. Lain-lain perguruan silat menjadi anggota PESAKA Negeri yang diwujudkan di setiap negeri di Malaysia. Bermakna seluruh silat telah bersatu di bawah PESAKA Malaysia.

Pada 11hb Mac, 1980,Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (PERSILAT) telah rasmi ditubuhkan sebagai badan induk silat di peringkat antarabangsa dan Jakarta, Indonesia menjadi ibupejabat PERSILAT. Indonesia, Malaysia, Brunei dan Singapura telah diiktiraf sebagai anggota pendiri PERSILAT. Badan induk kebangsaan untuk silat dikenali sebagai Ikatan Pencak Silat Indonesia (IPSI) di Indonesia, Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA) di Malaysia, Persekutuan Silat Brunei (PERSIB) di Brunei dan Persekutuan Silat Singapura (PERSISI) di Singapura.

Pencak Silat telah diiktiraf sebagai Seni Bela Diri Asli bangsa Indonesia. Manakala di Malaysia, Kerajaan Malaysia telah mengiktiraf bahawa Silat sebagai Seni Bela Diri Rasmi Malaysia dan diwartakan dibawah Akta Warisan Negara semasa Konvensyen Silat yang dianjurkan pada 3hb hingga 4hb Disember 2006.
Pada 23hb hingga 24hb September, 1979, ketika Sukan Asia Tenggara ke-14, IPSI telah memperkenalkan Olahraga Pencak Silat. Peraturan pertandingan ini telah disusun pada tahun 1973. Silat sekarang adalah secara rasmi termasuk sebagai sebahagian daripada Sukan Asia Tenggara.


No comments :

Berita Panas Hari Ini.....

SILA TINGGALKAN KOMEN ANDA DISINI....TERIMA KASIH

Get widget