dipetik dari http://ms.wikipedia.org/wiki/Silat
Seni Silat atau
Pencak Silat adalah salah satu
seni mempertahankan diri bagi bangsa
Melayu atau
Nusantara
yang diamalkan sejak berkurun yang lampau. Usia sesebuah ilmu atau
salasilah seni silat tidak dapat dihuraikan secara terperinci dan tepat
kerana tiada usaha-usaha untuk mengkaji dari pihak berwajib secara
mendalam. Ada yang menganggarkan seni ini telah berusia beratus-ratus
tahun dan diperturunkan dari generasi ke generasi. Ini termasuklah
pengamal-pengamal seni mempertahankan diri ini di
Brunei,
Filipina,
Indonesia,
Malaysia, dan
Thailand.
Mereka yang belajar silat digelar pesilat. Amalan sekarang, pegajar
atau guru silat digelar jurulatih dan seorang yang mewarisi aliran
sesuatu perguruan digelar Guru Utama aliran itu.Kebanyakan guru silat
kini menolak gelaran Mahaguru kerana bagi mereka gelaran 'maha' hanya
sesuai untuk Allah (Tuhan) dan ini menepati perawakan guru silat yang
kebiasaannya gemar menyembunyikan kemahiran mereka dan amat merendah
diri. Pesilat senior yang telah lama berkecimpung dalam dunia silat
sebagai pengajar (atau menyembunyikan kemahiran mereka), berkemahiran
tinggi dan ada di antaranya mewarisi beberapa aliran yang telah hilang
digelar sebagai Guru Tua dan amat dihormati. Pesilat yang mempunyai
tahap silat yang tinggi digelarkan pendekar.
Antara senjata-
senjata Melayu lama yang sering digunakan oleh pesilat adalah seperti
keris,
badik,
kerambit,
parang,
pedang,
lading,
Tumbuk Lada,
tekpi,
tongkat,
tembong dan
sundang.
Bagi silat yang tidak menggunakan senjata, pengajaran akan menumpukan
perhatian kepada pertempuran tangan kosong (tanpa senjata). Secara am
sesebuah aliran silat mengajar kedua-dua kemahiran dan aliran yang hanya
menumpukan salah satu daripadanya adalah sedikit. Kebiasaannya
seseorang penuntut atau murid baru akan ditumpukan kepada kemahiran
tempur tangan kosong sebelum diajar bermain senjata. Bagi sesetengah
aliran, hanya murid yang diiktiraf berkemahiran dan mempunyai adab
keperibadian yang tinggi dibenarkan mempelajari kemahiran senjata,
terutama bagi yang mempunyai senjata yang dianggap senjata 'rasmi' bagi
aliran itu.
Pergerakan silat terbahagi kepada bunga (pergerakan seolah-olah
tarian, digelar juga seni atau tari) dan buah (pukulan atau buah pukul).
Bagi mereka yang tidak pernah melihat seni pertahanan diri ini, mungkin
ia kelihatan seperti sejenis tarian. Namun terdapat aliran yang hanya
mempunyai buah seperti Silat Cekak dan Buah Bentayan. Seni tari yang
halus ini memungkinkan ia digunakan sebagai persembahan dalam sesuatu
majlis keramaian, malah hampir setiap aliran mempunyai 'tari sembah'
termasuklah aliran yang tidak mempunyai bunga. Tari sembah ini
dipersembahkan untuk memperkenalkan diri dan aliran yang
diwakili/dipelajari. Dalam situasi pergaduhan, permulaan langkah dari
tari sembah atau sejurus dari bunga yang diperlihatkan membolehkan
pesilat mengenali rakan sealiran dan memungkinkan situasi berakhir
dengan damai dan bermaaf-maafan.
Adalah menjadi ungkapan yang terkenal dan biasa disebut oleh
guru-guru silat bahawa bunga silat mempunyai seribu satu muslihat.
Selain daripada kelihatan mengelirukan (seolah-olah menari) dan
sebab-sebab di atas, bunga juga digunakan untuk memberi masa dan ruang
kepada lawan untuk menghulurkan salam perdamaian (ini dapat dilihat
dalam kebanyakan bunga yang kelihatan seperti menghulur salam),
menyembunyikan buah dan sudut serangan dan mengacah serta mengumpan
lawan (kadangkala sehingga sengaja menunjukkan bahagian tubuh tertentu
bagi diserang untuk memerangkap musuh). Silat Gayung Fatani terkenal
dengan pergerakan bunga yang cantik dan istilah 'melilit'. Pesilat
aliran ini akan sengaja memberi ruang dan isyarat kepada musuh untuk
menyerang atau cuba melepaskan diri, di mana semakin musuh itu menyerang
setelah termasuk perangkap kuncian, maka semakin ketat mereka akan
'terbelit' dalam kuncian pesilat aliran ini.
Silat juga terkenal sebagai sistem pertahanan diri yang banyak
menggunakan kuncian, sama ada kunci urat saraf atau anggota tubuh.
Istilah 'kunci mati' adalah sinonim dengan silat.
Jenis silat (umum)
Timbul salah faham di kalangan orang ramai bahawa silat seni seperti
silat pulut adalah biasanya dipersembahkan pada majlis rasmi dan majlis keramaian seperti majlis perkahwinan manakala silat dari jenis
buah pukul atau
seni tempur
pula lebih banyak disorokkan dari pandangan ramai atas dasar-dasar
memelihara seni, muslihat permainan dan beberapa alasan yang lain.
Hakikatnya 'silat pulut' bukanlah satu aliran silat berlainan yang hanya
memfokuskan persembahan dan tidak boleh mempertahankan diri. Ia
hanyalah terma atau gelaran yang digunakan apabila pesilat merancang
acara persembahan mereka di majlis keramaian. Ini termasuklah tari
sembah dan pertempuran yang diatur. Sudah tentu rahsia dan muslihat
permainan aliran tidak dipertontonkan. Kebiasaannya sekumpulan pesilat
menubuhkan kumpulan 'silat pulut' ini untuk membincangkan dan berlatih
untuk persembahan-persembahan di majlis keramaian di kejiranan mereka.
Inilah asalnya wujud 'aliran' atau 'sekolah silat pulut'. Nama silat
pulut ini dikatakan berasal daripada 'pulut pengantin' (majlis-majlis
perkahwinan di mana ia selalu dipersembahkan).
Silat sehingga kini sudah banyak yang dipecahkan alirannya, seperti
mana pecahnya silat Gayung (Gayung Laksamana, Gayung Laksamana Pahang
dan lain-lain lagi). Di Malaysia sahaja terdapat hampir 500
Perguruan Silat yang telah dapat dikesan.
Terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa silat kini semakin
tidak mendapat sambutan daripada golongan pemerintah yang sepatutnya
memelihara seni ini dengan alasan terdapat unsur-unsur khurafat yang
terdapat dalam silat. Dengan kesedaran pembangkitan Islam hari ini,
guru-guru aliran telah menentang dan membuang amalan-amalan yang dilihat
bertentangan dengan ajaran agama seperti jampi serapah, pemujaan
makhluk ghaib tertentu dan sebagainya.
Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA)
sendiri telah banyak membawa usaha pemodenan dalam dunia silat hari
ini. Apa yang pasti Silat akan terus menjadi warisan dan lambang jati
diri Melayu sedunia.
Sejarah
Silat tersebar sepanjang Nusantara Melayu sejak
abad ke-7 M, tetapi asal-usulnya masih tidak diketahui lagi. Meskipun, silat telah diakui sebagai seni Melayu asli
. Orang
Melayu yang telah menetap di bandar-bandar pantai pulau
Sumatera dan
Semenanjung Melayu, dari
Aceh di utara ke
Kelantan,
Kedah dan
Kepulauan Riau
di selatan, dan Pattani di utara adalah orang yang mengamalkan silat.
Perhubungan dengan kumpulan suku kaum lain di bandar-bandar pantai telah
juga mempengaruhi bentuk silat. Adanya bukti bahawa budaya
China dan
India telah mempengaruhi gaya-gaya seni mempertahankan diri itu.
Apabila
Islam disebarkan sepanjang nusantara
abad ke-14,
ia diajar di samping dengan silat. Selain seni bertarung dan tarian
budaya rakyat, silat kemudian menjadi suatu latihan rohaniah.
Silat telah diperhaluskan ke ciri keistimewaan
sultan, panglima dan pendekar sewaktu empayar
Kesultanan Melaka,
Majapahit dan
Srivijaya. Ia adalah waktu apabila silat tersebar sepanjang
Semenanjung Melayu,
Jawa,
Bali,
Sulawesi dan
Borneo. Orang Melayu, terutamanya di semenanjung Melayu, menganggap cerita legenda
Hang Tuah pada abad keempat belas sebagai
bapa silat.
Silat berkongsi sejarah yang sama di Malaysia (termasuk Singapura
ketika itu), Brunei dan Indonesia sewaktu era penjajahan sebagai suatu
wadah untuk membebaskan diri daripada kekuasaan penjajah.
Sewaktu era pasca penjajahan, silat telah menikmati populariti dan nama
yang tinggi oleh kerana jasa-jasa pendekar yang telah memimpin
perjuangan dan mengorbankan nyawa untuk kemerdekaan.
Kegunaan daerah
Di Indonesia,
pencak silat telah dipilih pada
1948
sebagai suatu istilah kesatuan untuk seni pertahan diri mereka. Ia
adalah suatu kata majmuk dari dua istilah yang umumnya digunakan untuk
seni pertahan diri di Indonesia. Pencak adalah istilah yang digunakan di
Jawa tengah dan timur, sementara silat digunakan di Sumatera. Dalam
kegunaan moden, pencak dan silat dilihat sebagai dua aspek pada amalan
yang sama. Pencak adalah aspek persembahan pada seni pertahan diri,
sedangkan silat adalah inti perkelahian dan seni pertahan diri.
Di
Bali, dengan suatu penduduk (94%)
Hindu, silat adalah suatu kuasa kesatuan dalam setiap district dan hampir setiap kampung.
[perlu rujukan] Arahan rasmi mengambil tempat setiap pagi dan petang oleh satu dari dua pertubuhan:
Bakti Negara dan
Kertha Wisesa. Di Malaysia, silat adalah suatu istilah yang digunakan sebagai
istilah payung untuk semua seni pertahan diri Melayu. Contoh-contoh pada
gaya-gaya silat di Malaysia adalah Silat Cakar Harimau,
Silat Gayung Zahir 9, Silat Pancasila,
silat gayong maarifat,
Silat Keris Lok Sembilan,
Silat Gayung Pusaka, Silat Seni Gayong dan
Silat Lian Padukan. 1 dalam 5 orang Melayu di Malaysia mengamalkan silat.
Di Malaysia,
Perguruan Silat diberi nama mengikut masyarakat seperti
Silat Minangkabau,
Silat Bugis,
Silat Jawa dan
Silat Kerinci. Terdapat juga perguruan yang diberi nama mengikut daerah seperti
Silat Gayong Fatani,
Silat Gayungman Kedah,
Silat Buah Pukul Mersing dan
Silat Pukulan Melaka. Terdapat juga perguruan yang diberi nama mengikut tokoh seperti
Silat Hang Tuah,
Silat Cekak Ustaz Hanafi,
Silat Mat Kilau dan
Silat Sendeng Hj Hamid. Terdapat juga perguruan yang diberi nama mengikut motif gerak dan semanagat haiwan seperti
Silat Rajawali,
Silat Penyu,
Silat Siamang Laut dan
Silat Harimau.
Perkembangan
Selepas merdeka (1957) terdapat ratusan aliran Perguruan Silat di
Malaysia. Pemerintah di Malaysia telah mengarahkan pengamal silat
mewujudkan persatuan silat dan didaftarkan atas tujuan untuk membina,
meyusun dan pengurusan silat yang lebih baik. Sarana tersebut disambut
baik, maka beberapa kumpulan silat telah didaftarkan. Di sinilah
bermulanya wujud pelbagai nama alairan penguruan silat kerana setiap
pendaftar mestilah mempunyai nama kumpulan masing-masing.
Pada tahun 1978 Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Malaysia
ketika itu berusaha untuk mewujudkan satu badan atau gabungan peringkat
negara yang boleh membangunkan silat secara lebih berkesan, maka
wujudlah Majlis Seni Silat Malaysia (1983). Kemudiannya ditukar kepada
nama baru iaitu Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia atau PESAKA
Malaysia, dan lulus pendaftarannya pada 1986. Pesaka malaysia telah
dianggotai oleh empat anggota bertaraf badan pendiri Pesaka Malaysia
iaitu Seni Gayung Fatani Malaysia, Silat Seni Gayong Malaysia, Silat
Lincah Malaysia dan Silat Cekak Malaysia. Lain-lain perguruan silat
menjadi anggota PESAKA Negeri yang diwujudkan di setiap negeri di
Malaysia. Bermakna seluruh silat telah bersatu di bawah PESAKA Malaysia.
Pada 11hb Mac, 1980,Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (PERSILAT)
telah rasmi ditubuhkan sebagai badan induk silat di peringkat
antarabangsa
dan Jakarta, Indonesia menjadi ibupejabat PERSILAT. Indonesia,
Malaysia, Brunei dan Singapura telah diiktiraf sebagai anggota pendiri
PERSILAT. Badan induk kebangsaan untuk silat dikenali sebagai Ikatan
Pencak Silat Indonesia (IPSI) di Indonesia, Persekutuan Silat Kebangsaan
(PESAKA) di Malaysia, Persekutuan Silat Brunei (PERSIB) di Brunei dan
Persekutuan Silat Singapura (PERSISI) di Singapura.
Pencak Silat telah diiktiraf sebagai Seni Bela Diri Asli bangsa
Indonesia. Manakala di Malaysia, Kerajaan Malaysia telah mengiktiraf
bahawa Silat sebagai Seni Bela Diri Rasmi Malaysia dan diwartakan
dibawah Akta Warisan Negara semasa Konvensyen Silat yang dianjurkan pada
3hb hingga 4hb Disember 2006.
Pada 23hb hingga 24hb September, 1979, ketika
Sukan Asia Tenggara
ke-14, IPSI telah memperkenalkan Olahraga Pencak Silat. Peraturan
pertandingan ini telah disusun pada tahun 1973. Silat sekarang adalah
secara rasmi termasuk sebagai sebahagian daripada Sukan Asia Tenggara.